Tiada nilai hidup jika terus...

Sebuah cerita sebuah kisah...
Dahulunya keluarga dia terlalu indah dengan kekayaan. Terlalu dihormati orang dengan kehebatan yang diperolehi. Terlalu taksub dengan barangan mahal yang kononnya mampu membawa keluarganya ke arah dipandang tinggi di daerahnya. Namun, si dia lupa kepada pencipta. Menyangkakan mencari duit boleh membuatkan anak2 rapat dan hormatinya. Baginya duit adalah segalanya. Apalah erti kasih sayang dalam sesebuah keluarga. Apalah erti kesopanan dalam kehidupan. Tiada didikan agama dilemparkan kepada anak2 tetapi mengharapkan guru untuk mengasuh keimanan anak. Alangkah bongkak dan takburnya hidup pada masa itu.

Pada suatu hari, satu kejadian yang tak disangka mengundang 1001 masalah. Perniagaan yang dulunya gah dimata masyarakat kini perlahan-lahan dijatuhkan. Salah seorang anak lelakinya yang dahulunya dicanang kepada orang ramai tentang kehebatannya dalam hukum agama kini musnah dek hutang piutang keliling pinggang sehingga digelar muflis oleh mahkamah. Anak lelaki bongsunya yang dahulu sangat disayangi dan menyangka akan berbakti kepadanya tiada usaha untuk membangunkan diri sendiri malah lebih rela dan senang untuk tidak bekerja. Kewangan yang dahulunya dibelanjakan sehingga ke luar negara lesap akibat terpaksa menanggung hutang piutang anak-anaknya.

Kini mereka malu. Malu untuk berhadapan dengan khalayak ramai. Malu untuk bersemuka dengan jiran tetangga. Malu untuk meminta simpati diatas kesalahan sendiri. Mengharapkan bantuan daripada anak-anak tetapi anak-anak langsung tidak menghiraukannya malah makin menambahkan beban. Kepada siapa lagi dia mahu memohon pertolongan? Akhirnya dia bertaubat dan memohon keampunan kepada Pencipta. Namun tak semudah itu yang harus ditempuhinya. Sebagai balasan di dunia, dia terpaksa menanggung segala hutang piutang anak-anaknya, menebalkan muka berhadapan dengan orang awam dan adik beradik. Di akhirat pula entah apa yang akan timbul ceritanya.

Itulah kuasa Allah! Allah itu maha adil. Dia memberi rezeki kepada kita supaya kita bersedekah, menjadi orang yang bermurah hati, bersyukur dengan nikmat yang diberi. Tetapi inilah manusia. Leka dengan duniawi, leka dengan teknologi, leka dengan duit semata-mata. Manusia yang lupa siapa pencipta alam adalah manusia yang akan rugi di akhir zaman.

**cerita ini adalah berdasarkan sebuah pengalaman saya sendiri. Maaf andai diri telah membuka aib seseorang tetapi cerita ini untuk menyedarkan insan lain supaya tidak mengharapkan harta benda sehingga lupa siapa Pencipta kita.

Popular Posts