Falsafah Seorang Pendidik
“Kemahiran adalah cabang yang luas dalam
mencapai sebuah kejayaan dalam hidup. Bertindak dan yakin pada diri sedikit
sebanyak dapat membantu membangunkan diri yang luntur dari segi pembelajaran
teori. Bijak dalam kemahiran lebih tinggi nilainya kerana disitu terletaknya
permata dunia yang sangat indah dan bernilai. Cari, gali dan kejar permata
tersebut kerana ianya akan menjadi sinar dalam mengubah persepsi masyarakat
disekeliling supaya tidak pandang remeh tentang keistimewaan permata terutama
sekali dalam mengenal erti sebuah kehidupan”
Hana
Farhana, 2016
Kemahiran adalah
asas utama dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang. Ini ditekankan dan
ditakrifkan sendiri oleh Amerika Syarikat dalam pelaksanaan Pendidikan Teknikal
Vokasional pada tahun 1917. Ia tidak mustahil jika bidang yang biasa dilakukan
boleh menjadi sesuatu yang agak luar biasa jika hanya bermula dengan satu
kemahiran. Satu kemahiran boleh melahirkan begitu banyak bidang dan apa yang
terpenting adalah kepegangan dalam asas kemahiran di mana ia merupakan asset
yang sangat bernilai dalam diri seseorang individu. Kemahiran yang tinggi dalam
diri seseorang individu akan melayakkan diri dalam menceburi bidang-bidang
khusus seperti arkitek, jurutera, pereka fesyen, dan sebagainya. Daripada
kemahiran itu juga dapat mengembangkan bakat yang ada sehingga mampu menurunkan
legasi kemahiran kepada belia masa kini.
Di samping itu,
terdapat juga kecenderungan di kalangan para pelajar dan segelintir ibubapa
yang tidak meminati bidang-bidang berkaitan teknikal berbanding bidang akademik
yang lain. Anggapan yang biasa kedengaran adalah bidang-bidang teknikal hanya
untuk para pelajar yang gagal dalam akademik ataupun bagi mereka yang kurang
tahap kecerdasannya dalam bidang akademik. Ini adalah anggapan yang salah yang
sudah tentu akan membantutkan usaha dan harapan kerajaan dan negara yang
bercita-cita untuk melihat negara ini mencapai status negara maju dalam sektor
industri dan pembuatan dalam masa terdekat ini. Bagi meneruskan usaha ke arah
menjadi sebuah negara maju kelak sesebuah negara maju pendidikan teknik dan
vokasional perlu diberi perhatian penting oleh semua pihak dalam negara kita
bagi memastikan pembangunan pendidikan dalam negara kita terus mampan dan
berdaya berdaya saing. Perlu diketahui, banyak negara maju seperti Amerika
Syarikat, Eropah, Australia, Jepun, Kanada di mana peratus pelajar lepasan
sekolah menengahnya lebih banyak menjurus kepada sektor pendidikan dalam bidang
teknik dan vokasional. Ini kerana negara terbabit itu menyasarkan sejumlah
besar ahli teknologi, pekerja mahir dan separa tinggi bagi memangkin
pertumbuhan ekonomi mereka secara berterusan dan berkualiti.