Kreativiti Melalui Susunan Kata

Apakah yang tersirat disebalik tajuk “Kreativiti Melalui Susunan Kata”. Mungkin ramai yang tertanya apakah kaitannya kreativiti dengan susunan kata sedangkan kita sendiri tahu dan sedar bahawa kreativiti sering dikaitkan dengan penemuan idea baru dalam sesebuah lukisan kebanyakannya. Tapi pada artikel kali ini, ingin saya mengupas serba sedikit tentang kreativiti melalui susunan kata berdasarkan penyelidikan dan pembacaan yang telah saya lakukan. Susunan kata yang kita tahu adalah ayat-ayat yang digunapakai dalam menghasilkan sebuah karangan, puisi, sajak, pantun dan sebagainya. Dalam makna lain adalah kosa kata yang digunapakai dalam ayat mempunyai lirik dan susunan yang teratur. Kreativiti pula penjanaan idea baru hasil daripada penglaman yang pernah kita lihat atau baca pada sebelumnya atau suatu proses mental yang menghasilkan penemuan baru tentang perkara atau benda yang tidak pernah terlintas di benak fikiran. Contoh yang boleh kita perlihatkan adalah terhasilnya buku-buku daripada karyawan-karyawan yang terkenal seperti A. Samad Said, Usman Awang, Abdul Samad Ismail, Shahnon Ahmad, Othman Puteh, Rahmat Haron dan ramai lagi. Mereka telah menghasilkan pelbagai jenis buku yang mempunyai maksud yang tersirat daripadanya. Cerita, puisi, sajak, yang dituliskan sangat menyentuh hati dan perasaan bagi sesiapa sahaja yang faham dan menghayati pembacaannya. 

Kebanyakan mereka menulis buku-buku tersebut berdasarkan pengalaman mereka sendiri dengan melihat persekitaran yang ada disekeliling. Cuba kita selami jiwa penulis-penulis ini pastinya kita akan tahu kreativiti yang ditonjolkan oleh mereka sangatlah berbeza daripada pengolahan melalui gambar. Penulisan yang indah membawa fikiran pembaca kearah berfikir secara kritis dan kreatif kerana kebanyakan pembaca tidak mampu meluahkannya melalui perkataan. Antara buku yang menarik minat saya adalah penulisan Datuk A. Samad Said tidak kiralah dari segi genre novel, puisi, drama, cerpen, dan esei sekalipun. Datuk A. Samad Said memiliki keistimewaan yang jarang dimiliki oleh semua penulis. Beliau menguasai semua genre sastera. Sehingga kini A.Samad Said tidak jemu menghasilkan puluhan karya yang sangatlah berguna dalam seseorang individu itu menyelami apa yang tersirat disebalik kata-kata yang dilemparkan oleh beliau. Antara karya besar yang dihasilkan oleh beliau ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Lantai T.Pinkie, Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Karya beliau Salina telah diterjemahkan ke dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Beberapa karya beliau juga telah diadaptasi menjadi teater atau drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T. Pinkie dan Memori di Hadapan Pulau.  

Susunan kata atau kosa kata melambangkan kekreatifan seseorang individu itu dalam menarik pembaca mengenali hasil tulisan tersebut. Sama juga dengan sebuah lukisan, seorang pelukis melukis sebuah lukisan yang menggambarkan ekspresi dan emosinya dalam bentuk lukisan dan yang melihat lukisan tersebut menyatakan pelukis mempunyai bakat dengan menterjemah pergolakan hati di dalam bentuk sebuah lukisan. Begitulah isi tersurat sang penulis dimana menceritakannya semula dalam bentuk penulisan. Setiap manusia ciptaan Allah s.w.t. ini mempunyai kretiviti mereka tersendiri. Cuma yang membezakannya adalah jenis kreativiti yang diperolehi oleh individu tersebut.  Seorang tokoh bahasa dan pemikir Melayu yang terkenal, Allahyarham Zainal Abidin Ahmad (1934) menyatakan bahawa mengarang memerlukan penguasaan bahasa dan daya fikiran yang saling berhubung kait. Menurut beliau lagi, terdapat karangan yang mudah dan sukar dicoretkan. Hasil yang dinyatakan oleh Za’ba itu, berpendapat mudah atau sukar menghasilkan sesuatu karangan adalah bergantung pada penguasaan bahasa dan keupayaan berfikir seseorang pengarang. 

“Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul seperti maksud yang di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.” 

“Sebab itu bila mengarang wajiblah dihati-hatikan benar apa ertinya perkataan-perkataan yang dipakai di dalamnya, atau bagaimana rangkaian perkataan yang boleh mengeluarkan sebenar-benar maksud yang di dalam hati itu.”

Kenyataan itu berdasarkan kepada huraian yang dinyatakan oleh Za’ba bahawa bahasa adalah alat mengeluarkan sesuatu yang difikirkan. Seterusnya kefahaman pembaca kepada apa yang difikirkan itu bergantung pada ketepatan bahasa yang digunakan. Penjelasan tokoh bahasa dan pemikir Melayu ini seterusnya mengingatkan kepada pengarang atau bakal pengarang bahawa ketepatan penggunaan perkataan haruslah diutamakan untuk melahirkan karangan atau karya seperti mana yang difikirkan. Seterusnya, pendeta ini menyatakan bahawa penguasaan tatabahasa iaitu pengetahuan atau pelajaran tentang pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat haruslah dikuasai oleh setiap pengarang. Proses itu dilihat sebagai satu kemahiran yang memerlukan latihan berterusan. 

“Belajar mengarang itu baik pun karangan senang atau karangan susah, tidaklah sekali-kali dikehendakkan mesti dimulai daripada nahu (tatabahasa), melainkan hendaklah dengan jalan yang dibuat dan dibiasakan selalu serta meme¬¬rhati karangan orang yang pandai-pandai mengarang.”

Menyentuh mengenai hubungan kreativiti dan penulisan, pengolahan perhubungan dari beberapa pandangan yang dikemukakan oleh Ainon Mohd dan Profesor Emeritus Abdullah Hassan, menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (2005), pemikiran kreatif ditandai oleh keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut dan menghasilkan pelbagai cara untuk melakukan sesuatu yang baru atau dari sudut yang baru. Mengaitkan apa yang dinyatakan oleh Abdullah Hassan dan Ainon Mohd itu, jelas menunjukkan bahawa penulisan dan kreativiti mempunyai hubungan yang sungguh rapat serta saling perlu memerlukan. Penulis yang kreatif juga berkeupayaan melahirkan penulisannya yang pelbagai persepsi, pelbagai konsep, pelbagai idea, pelbagai cara menyelesaikan masalah, pelbagai cara meleraikan konflik, pelbagai reka cipta, pelbagai strategi dan taktik. Ketika menghasilkan karyanya pula pelbagai cara digunakan antaranya pelbagai prosedur kerja, pelbagai teori, pelbagai hipotesis, pelbagai peraturan, dan pelbagai hasil perundingan. Jika diteliti kepada pandangan yang dikemukakan oleh kedua-dua sarjana terbabit dapat dinyatakan bahawa terdapat karya kreatif yang dihasilkan oleh penulis barat seperti Afred Hitchock, Daniell Steele dan Barbara Cartland diadaptasikan ke dalam filem. Begitu juga di negara ini terdapat beberapa karya kreatif yang dihasilkan penulis seperti Othman Zainuddin, Khadijah Hashim, Usman Awang dan A Samad Said sudah diadaptasikan ke dalam bentuk drama atau filem.

Menyatakan mengenai imaginasi, sering terbayang di kebanyakan fikiran seseorang individu ia membabitkan khayalan mengenai sesuatu perkara. Maksud yang dinyatakan itu secara umumnya benar kerana Dewan Bahasa dan Pustaka (2010) mendefinisikan imaginasi sebagai kemampuan menggambarkan sesuatu dalam angan-angan atau mencipta sesuatu secara khayalan. Khayalan pula dimaksudkan sebagai sesuatu yang nyata kelihatan pada pandangan seseorang pada hal sebenarnya tidak wujud. Kebanyakan dapat dilihat bahawa imaginasi atau khayalan seseorang dapat dilihat secara jelas ketika dirinya berada di alam kanak-kanak. Pelbagai khayalan atau imaginasi dibayangkan oleh kanak-kanak seperti membayangkan sebuah kapal terbang yang dipegang sedang terbang di udara. Kereta yang tidak berenjin digerakkan dengan menggunakan tangan sedang melalui lebuh raya yang sibuk dan sebagainya. Oleh itu, imaginasi mempunyai hubungan yang amat rapat dengan komunikasi penulisan terutamanya penghasilan karya-karya kreatif. Mereka yang mempunyai keupayaan berimaginasi adalah suatu kelebihan baginya menghasilkan karya-karya yang bermutu. Menurut Faisal Tehrani (2008), beliau menyatakan bahawa imaginasi adalah unsur yang paling penting bagi melahirkan karya kreatif. Dijelaskan bahawa imaginasi merupakan keupayaan mencipta citra yang berupaya mengambarkan imej peribadi seseorang yang belum pernah terjadi secara nyata.

Kepentingan dalam kreativiti penulisan ini salah satunya adalah dapat memupuk kalangan remaja berfikir secara terbuka dimana tidak terlalu memikirkan kehadapan tetapi berbalik kepada pemikiran ke belakang. Sebagai contoh diperlihatkan remaja pada masa kini terlalu asyik dengan teknologi sehingga lupa akan siapa yang menciptakan semua ini dan siapa yang memerdekakan Negara Malaysia. Maksud di sini adalah jangan terlalu focus ke hadapan sehingga lupa untuk menoleh ke belakang sedangkan yang belakang inilah penguat bagi dihadapan. Selain itu, menerapkan nilai sentiasa berpegang dengan bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah lambang kekuasaan Tanah Melayu, jika lunturnya bahasa maka lunturlah masyarakat kita dek bahasa-bahasa yang merosakkan Negara. Mengapa perlu ubah bahasa yang sekian lama dipergunakan? Bukankah bahasa itu adalah sebuah kekuatan sehingga kita mampu mencapai kemerdekaan pada suatu masa dahulu. Kreativiti dalam penggunaan bahasa terutama dalam penggunaan Bahasa Melayu sangatlah unik. Hal ini dibuktikan oleh masyarakat barat yang ingin belajar bahasa kebangsaan kita. Jika kita tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan kita sendiri, bagaimana pula kita ingin menyampaikan bahasa kita pada masyarakat luar sedangkan kita sendiri terlalu banyak belajar bahasa mereka. 

Menjadi seorang yang kreatif perlulah mempunyai ciri-ciri yang istimewa berbanding orang lain. Antara ciri-ciri seseorang yang kreatif adalah mempunyai daya dan kemampuan untuk membina atau mencipta idea sendiri ataupun menggubah sesuatu idea atau benda yang asal kepada sesuatu yang baru erti kata lain ialah berbeza dari yang asal. Ia boleh dilakukan dengan penggunaan teknik atau gaya yang berbeza dengan memanipulasikan idea tersebut dengan pelbagai cara. Seseorang itu juga perlu meneroka dan mencuba dengan pelbagai pendekatan mengikut cara tersendiri bagi menyelesaikan permasalahan sesuatu idea atau ciptaan tersebut dan untuk itu, perlulah mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan berupaya berfikir secara ‘extraordinary’ (luar biasa). Seseorang yang kreatif juga haruslah suka mencuba, meneroka sesuatu yang baru samada dengan menggunakan cara-cara baru dan inovatif dalam menggabungkan idea dan penulisan. Individu tersebut juga harus mampu mengimpikan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan baru yang berlainan dari biasa. Oleh itu, dia haruslah berupaya berimaginasi dan mewatakkan sesuatu serta berfikiran tulen dan asli dalam menghasilkan sesuatu. Suka untuk mengkaji dan menyelidik serta dapat memberi makna dan pengertian terhadap sesuatu ciptaan atau idea juga antara ciri-ciri seorang yang kreatif. Dia juga akan selalu bertanya dan mencari penjelasan bagi sesuatu persoalan serta akan berusaha mencari penemuan baru mengenai hubungkait antara idea dan bahan. Selain daripada itu juga, seseorang yang kreatif juga peka terhadap nilai estetik. Seseorang itu lebih tertarik terhadap nilai keindahan, kecantikkan, keunikkan, kelainan, dan keharmonian terhadap sesuatu objek, alam dan kehidupan. Individu tersebut juga dapat merasakan nilai rentak, irama, dan harmoni terhadap apa yang dilihat dan dihasilkan. Akhir sekali ialah ciri-ciri keyakinan diri. Seseorang yang kreatif dapat menggunakan pendekatan yang fleksibel mengikut situasi dan keperluan. Ia juga boleh berdikari dan mempunyai kekuatan perasaan dan emosi serta dapat membuat pernyataan diri.

Oleh yang demikian, sejarah kebudayaan dan tamadun manusia membuktikan bahawa industri perbukuan mempunyai hubungan dengan tamadun sesuatu masyarakat. Bagaimanapun, menghasilkan sesuatu penulisan terutamanya penulisan kreatif memerlukan pengorbanan yang berterusan. Pengorbanan yang dipercayai membabitkan mendidik golongan muda menghasilkan karya-karya kreatif yang bermutu. Sebelum kejayaan itu diperolehi, seseorang pengarang atau penulis harus mempunyai ciri-ciri tertentu antaranya mendidik jiwa, membatasi khayalan, mengawal imaginasi, kreativiti dan ideanya bagi membolehkan komunikasi penulisan kreatif yang dihasilkan bermutu dan berada di landasan ajaran Islam yang sebenar. 

Image result for kreativiti

Popular Posts